Monday, April 8, 2019

Tinta Pengarang

Terhasilnya e-buku Strategi Lancar Menulis ini, maka sudah dua e-buku yang saya hasilkan tahun ini. Mengikut sasaran, paling kurang 5 e-buku. Insya-Allah bakinya akan menyusul selepas ini.

E-buku ini ditulis atas inisiatif untuk berkongsi cara untuk tetap terus menulis biarpun dalam keadaan sibuk dan buntu. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk menulis namun saya tetap berasakan untuk berkongsi ilmu yang saya perolehi daripada penulis-penulis yang lebih berpengalaman.

Strategi Lancar Menulis boleh dijadikan sebagai asas untuk menulis bagi mereka yang ingin serius dalam bidang ini. Bermula dengan bab pertama tentang bank idea, disusuli bab kedua tentang mencari inspirasi untuk menulis, seterusnya bab ketiga berkenaan memupuk rutin menulis. Bab keempat menerangkan secara ringkas penulisan dari hati dan bab terakhir, rahsia penulis-penulis bestseller sebagai motivasi.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Masayu Ahmad atas segala dorongan dan bimbingan dalam Kelas Tulis dan Terbit E-book serta rakan-rakan penulis lain yang turut berjuang menyiapkan e-buku masing-masing.

Teruskan menulis perkara yang baik. Sebarkan ilmu yang bermanfaat. 

Salam sayang,
Hifzaila Hafni
April 2019

No comments:

Post a Comment