Monday, April 8, 2019

Tinta Pengarang

Terhasilnya e-buku Strategi Lancar Menulis ini, maka sudah dua e-buku yang saya hasilkan tahun ini. Mengikut sasaran, paling kurang 5 e-buku. Insya-Allah bakinya akan menyusul selepas ini.

E-buku ini ditulis atas inisiatif untuk berkongsi cara untuk tetap terus menulis biarpun dalam keadaan sibuk dan buntu. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk menulis namun saya tetap berasakan untuk berkongsi ilmu yang saya perolehi daripada penulis-penulis yang lebih berpengalaman.

Strategi Lancar Menulis boleh dijadikan sebagai asas untuk menulis bagi mereka yang ingin serius dalam bidang ini. Bermula dengan bab pertama tentang bank idea, disusuli bab kedua tentang mencari inspirasi untuk menulis, seterusnya bab ketiga berkenaan memupuk rutin menulis. Bab keempat menerangkan secara ringkas penulisan dari hati dan bab terakhir, rahsia penulis-penulis bestseller sebagai motivasi.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Masayu Ahmad atas segala dorongan dan bimbingan dalam Kelas Tulis dan Terbit E-book serta rakan-rakan penulis lain yang turut berjuang menyiapkan e-buku masing-masing.

Teruskan menulis perkara yang baik. Sebarkan ilmu yang bermanfaat. 

Salam sayang,
Hifzaila Hafni
April 2019

Thursday, April 4, 2019

1.1 Membina Bank Idea

Bank idea merupakan himpunan idea atau tulisan yang dikumpulkan sebelum diterbitkan.

Bank idea boleh dibangunkan secara online atau offline, mengikut keselesaan dan kemudahan sendiri.

Kenapa bank idea penting?

(Gambar idea)

Membina bank idea amat penting supaya segala ilham, lintasan idea atau isu penting yang kita mahu tuliskan tidak terlepas pandang atau hilang begitu sahaja. Biarpun inputnya kecil tetapi mungkin bermakna dalam penulisan kita seterusnya.

Bank idea boleh dibangunkan secara online di blog, Wattpad, aplikasi telefon seperti Evernote atau Google Keep. Di platform media sosial juga boleh seperti Facebook atau Instagram. Secara offline, boleh bina folder di MS Word atau menulis dalam buku nota.

Biarpun apa cara yang dipilih untuk membina bank idea, pastikan setiap fail dan folder dilabel dengan jelas bagi memudahkan pencarian semula pada masa akan datang.





1.2 Lima Sebab Perlu Ada Bank Idea


1. Mengelakkan ilham/idea hilang
Perasan tak kadang-kadang kita tengah masak, sedang menonton televisyen, terdetik sesuatu yang berkaitan dengan penulisan kita. Ha, cepat-cepat tuliskan di mana-mana seperti di telefon atau post-it note supaya idea tadi tak hilang begitu saja. Mahal tau idea ni! Kalau sudah terlepas, belum tentu idea sepertinya akan datang semula. Jadi, pastikan tulis pada sesuatu tempat. Tulis kata kunci saja pun sudah memadai. Kemudian nanti kembali kepada catatan tersebut dan kembangkan idea tadi.

2. Mengumpul semua idea yang terlintas supaya dapat disepadukan dalam penulisan
Bila ada banyak idea yang 'hinggap' dalam kepala, idea-idea tadi perlu digabungkan untuk memantapkan penulisan. Mungkin ada idea yang berulang, tidak mengapa. Itu bermakna perkara tersebut sentiasa dalam kepala kita, cuma kita perlu gabungkan atau singkirkan mengikut kesesuaian.

3. Digunakan semula apabila perlu/masa yang sesuai
Kadang-kadang idea yang terlintas dalam fikiran tu kita tidak gunakan pada waktu itu juga. Tiada masalah, catat dan kumpul sahaja dahulu. Sudah namanya pun 'bank', tempat kita kumpul dan simpan. Biarkan sahaja, mana tahu suatu hari nanti idea tersebut berguna dan banyak manfaatnya. Mungkin juga akan digunakan mengikut trend atau isu semasa.

4. Menyimpan maklumat penting
Mungkin kita ada maklumat tentang sesuatu perkara/insiden/kes yang berkait rapat dan penting berkaitan penulisan kita. Simpan juga di bank idea supaya maklumat tersebut tidak lenyap. Sekurang-kurangnya sebagai rujukan masa akan datang.

5. Untuk menggalakkan pertambahan idea baharu
Kita buat suatu benda baik, benda-benda baik yang lain akan turut datang bersama. Mungkin dengan mencatat satu idea yang melintas, akan mencanak-canak idea lain menerjah fikiran. Idea makin bercambah dan berkembang. Bangunkan semua idea untuk menghasilkan penulisan yang lebih baik.

1.3 Platform Bina Bank Idea

Setiap orang ada keselesaan sendiri untuk wujudkan bank ideanya. Tak kisahlah secara online atau offline, asalkan ada sebagai rujukan dan kemudahan diri sendiri juga.

Secara offline, boleh ikuti cara berikut.

1. Guna buku nota kecil (buku 555 contohnya), tulis tarikh dan catat apa saja idea yang singgah di fikiran anda. Boleh diselitkan dalam beg. Bersifat mobile. Mudah dibawa dan ditulis. Jangan lupakan pen, paling baik pen yang diikat pada buku, tidaklah tercari-cari bila nak menulis.

2. Guna post-it notes/sticky notes. Saiz notes, terpulang kepada selera dan keselesaan. Notes yang kecil boleh ditulis perkataan penting/kata kunci. Notes yang lebih besar, boleh tulis besar-besar atau sedikit penerangan tentang idea. Boleh gunakan notes berwarna-warni juga jika suka. Notes boleh ditampal pada papan di meja kerja atau tidak diceraikan dan dibawa seperti buku nota kecil dalam beg.

(Gambar post it notes)

3. Guna log book/buku nota biasa/diari/planner/organiser. Bagi memudahkan rujukan, boleh tetapkan setiap satu buku dengan satu tajuk atau genre sahaja. Contohnya, buku nota biru untuk nota tentang kecantikan wajah. Buku nota merah untuk kesihatan rambut. Spesifikkan tajuk supaya minda tak serabut. Catatkan semua dapatan beserta rujukan dalam buku.  Pastikan buku dilabel.


Secara online, boleh gunakan cara begini.

1. MS Word. Mungkin ada idea melintas semasa bekerja dengan komputer, boleh terus simpan dalam format ini dan letakkan dalam satu folder 'BANK IDEA'.

2. Aplikasi telefon. Boleh install dan guna aplikasi nota di telefon pintar. Contoh aplikasi yang saya biasa gunakan: Evernote, Google Keep. Aplikasi yang boleh boleh sync dengan laptop lebih baik. Menjimatkan masa.

3. Tulis di Facebook dan letakkan tanda pagar (hashtag). Boleh setkan status kepada 'Only Me' jika idea tersebut belum sedia untuk dikongsi. Bagi memudahkan penulisan tadi dicari semula, hanya taip dan cari # yang kita wujudkan. Contohnya #bankidea2019 atau #bankideamotivasi.

4. Gunakan channel Telegram. Cipta channel Telegram sendiri dan tuliskan di situ. Boleh juga catatkan dalam Saved Messages.

5. Tulis di blog atau Wattpad. Kedua-dua platform ini mampu bantu penulis mengetengahkan karya walaupun belum siap sepenuhnya. Boleh bina tribe pembaca awal melalui platform ini. Amat membantu jika ingin memasarkan karya kelak.

(Gambar Wattpad)

1.4 Kepentingan Bank Penulisan

1. Dapat menyimpan semua hasil tulisan pada suatu tempat. Kadang kala sesebuah tulisan dapat ditulis dengan begitu baik pada kali pertama, namun sebaliknya pada tulisan yang bertajuk sama yang ditulis kali kedua atau seterusnya. Jadi simpan tulisan pertama dengan sebaik-baiknya. Hanya buat suntingan atau penambahbaikan jika perlu.

2. Memudahkan penulis mengakses hasil tulisan apabila diperlukan. Contohnya mengikut tema, musim atau peristiwa tertentu. Mungkin juga jika menerima tugasan untuk menulis tajuk tertentu yang berkaitan. Tidak perlu menulis dari 'scratch', hanya perlu kemas kini tulisan yang ada. Tambahkan maklumat, kemas kini fakta terkini, masukkan gambar atau sebarang rujukan yang bersesuaian.

3. Menyimpan semua 'latihan' menulis yang telah dibuat. Mungkin kita perlu rujuk pada masa akan datang. Pastikan fail dilabel dengan jelas untuk memudahkan rujukan.